Ketua Pegawai Eksekutif Tanjung Ratna, Datuk Julian Lau berkata, tawaran harga istimewa tersebut merupakan harga selepas diskaun 10 peratus kepada pembeli bumiputera manakala harga bagi bukan bumiputera bermula dari RM313,900 seunit.

Menurutnya, projek terletak di Kota Laksamana itu menawarkan keseluruhan sebanyak 1,440 unit kediaman mewah 26 dan 27 tingkat terbahagi kepada 1,080 unit kondominium Jenis A (tiga bilik, dua bilik air) seluas 99.3 meter persegi dan 360 unit Jenis B (empat bilik, dua bilik air) seluas 107.6 meter persegi.

“Memandangkan projek seluas 4.85 hektar ini dibangunkan di atas tanah kediaman, maka caj air dan elektrik, cukai taksiran harta, cukai pintu dan yuran pengurusan adalah berdasarkan kadar kediaman biasa berbanding kondominium lain di kawasan komersial.

“Justeru, setiap unit kediaman ini boleh dijual dengan harga 40 peratus lebih rendah berbanding kediaman sama di sekitarnya seterusnya memberi peluang kepada lebih ramai pembeli memiliki kondominium mewah pada harga berpatutan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran projek yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Dr. Mohd. Khalil Yaakob di sini, hari ini.