Karya ciptaan Aissa Maryam Sufian, 18, digunakan bagi mengiringi persembahan muzikal San Raffaele Viterbo yang melibatkan 16 penunggang berkuda kurang upaya bergerak bersama-sama secara harmoni.

Aissa berkata, kuda-kuda yang mengambil bahagian dalam persembahan tersebut dilatih untuk membantu memulihkan individu yang kurang upaya di Pusat Rehabilitasi San Raffaele Viterbo.

"Muzik ini diilhamkan daripada kisah Pusat Rehabilitasi San Raffaele Viterbo, yang memanfaatkan teknologi canggih dan menggunakan cara tersendiri untuk memulihkan individu yang kurang upaya dan membantu mereka untuk hidup dengan sendiri.

"Saya berharap pencapaian ini akan menggalakkan orang ramai untuk tidak sekali-kali berputus asa dan tidak kira siapa pun, mereka boleh mencari jalan untuk menyumbang kepada dunia dan merealisasikan impian masing-masing," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pemuzik muda berbakat itu merupakan pelajar Sekolah Antarabangsa Nexus yang terletak di Putrajaya dan dilatih oleh Sonia Jones, seorang jurulatih vokal yang pernah bekerjasama dengan penyanyi terkenal seperti Rihanna, Justin Bieber dan Rita Ora. - UTUSAN ONLINE