Ketua Pengarah jabatan itu, Prof. Datuk Dr. Mohd Ismail Abdul Aziz memberitahu, antara kerjasama yang akan dilaksanakan ialah pembangunan modul bagi menjayakan konsep ‘Learn and Earn’, iaitu di samping belajar, pelajar juga akan memperoleh pendapatan tambahan.

“Beberapa politeknik dan kolej komuniti akan dikenal pasti bagi tujuan ini. Selain itu, inkubator keusahawan dalam pelbagai bidang akan dibangunkani di mana kumpulan al- ikhsan akan menjadi mentor dan menyuntik dana bagi memulakan perniagaan.

“Graduan yang berminat menceburi bidang keusahawanan akan dipilih dalam program ini. Kolaborasi ini akan memberi impak yang besar kepada kedua belah pihak dan merealisasikan hasrat kementerian bagi menyatukan industri dan akademik,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap majlis Perasmian Kolej Komuniti Cawangan Setiu di sini hari ini yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Yang turut hadhir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Mohd Jidin Shafie; Pengerusi Penyelaras UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap, Datuk Sabri Mohd Noor dan Pengerusi Penyelaras UMNO DUN Jabi, Mohd. Iskandar Jaafar

Kolej Komuniti Cawangan Setiu yang menawarkan program kursus sepenuh masa peringkat Sijil Teknologi Elektrik merupakan Kolej Komuniti yang keempat di negeri ini selain Kuala Terengganu, Kemaman, dan Besut manakala yang ke-100 di negara ini.

“Pengajian di Kolej Komuniti hampir 99 peratus yuran pengajian ditanggung oleh kerajaan,dan pelajar turut diberikan bantuan kewangan khususnya dalam kalangan keluarga berpendapatan di bawah RM3,000 (UB40).

Katanya, konsep pengajian di Kolej Komuniti ialah berdasarkan proses kerja sebenar meliputi teori dan praktikal yang menepati keperluan majikan, malah ini terbukti melalui rekod kebolehpasaran pelajar mencapai tahap yang amat membanggakan iaitu melebihi 96.7 peratus bagi tahun 2017.-UTUSAN ONLINE