Ketua Pe­ngarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, kod etika yang turut melibatkan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri itu sedang berada dalam kajian Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Anti-rasuah (JKKMAR).

Jelas beliau, kertas cadangan kod etika itu dijangka dapat disiapkan dalam tempoh beberapa minggu ini meskipun jawatankuasa Kabinet berkenaan telah diberikan tempoh tiga bulan sebelum ia dibawa ke mesyuarat Kabinet untuk kelulusan.

“Pekeliling rasmi untuk kod etika itu perlu mendapat kelulusan oleh Kabinet,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

Isnin lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, seluruh anggota Kabinet serta ahli Parlimen kerajaan akan tertakluk di bawah kod etika yang meletakkan mereka di bawah taksiran anggota pentadbiran dan dikehendaki mengisytiharkan aset masing-masing. - UTUSAN ONLINE