Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kelahiran tersebut telah disambut oleh individu yang bukan merupakan anggota kesihatan dan tidak bertauliah untuk mengendalikan kelahiran bayi.

“Kementerian ingin menzahirkan dukacita ke atas pemergian bayi ini dan mengucapkan takziah kepada kedua-dua ibu bapa serta keluarga bayi berkenaan.

“Kementerian amat memandang serius dan amat kesal dengan kejadian kematian bayi itu kerana ia merupakan kes yang boleh dielakkan. Kepesatan bidang kesihatan dan pelaksanaan pelbagai inisiatif kesihatan ibu dan kanak-kanak sejak pascakemerdekaan telah menyaksikan pengurangan mendadak kes kematian ibu dan bayi yang amat rendah, hampir setara dengan negara-negara maju,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kes kematian bayi ketika dilahirkan itu tular di media sosial baru-baru ini apabila didakwa kononnya telah dilahirkan dengan cara ‘homebirth’ dan meninggal dunia akibat komplikasi.

Kes itu turut mendapat perhatian Medical Mythbusters Malaysia (3M) yang menghantar surat terbuka kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk campur tangan dan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya melahirkan anak tanpa kehadiran pakar perubatan.

Tambah Noor Hisham, sepanjang tahun 2017 iaitu di Johor, terdapat 58 kes yang didaftar sebagai kelahiran tidak selamat di mana lima daripada bilangan kelahiran tidak selamat itu merupakan kejadian kelahiran di rumah yang berkaitan doula.

Lebih merisaukan, kata Noor Hisham, dua daripada kes tersebut adalah kes berisiko tinggi yang memerlukan kelahiran di hospital namun memilih untuk bersalin di rumah setelah dihasut oleh pihak-pihak tertentu.

“Statistik Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga KKM pula mencatatkan kes kematian ibu dan anak akibat kelahiran tidak selamat berkaitan doula iaitu dua kes kematian ibu pada 2013 dan dua kematian bayi masing-masing pada tahun 2016 dan 2018,” ujarnya.

Bagi kes kematian bayi di Johor Bahru itu, Kata Noor Hisham, KKM mengambil maklum bahawa polis Johor telah memulakan siasatan kes berkenaan dan pihak kementerian mempunyai bukti dan saksi bagi kes tersebut.

Menurutnya, pihak Hospital Sultan Ismail turut mengemukakan laporan kepada pihak polis dan setakat ini, tiada kakitangan KKM yang dipanggil polis untuk memberi keterangan. - UTUSAN ONLINE