Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan itu jelas menyalahi undang-undang kerana penggunaan produk tersebut adalah dikhaskan kepada pihak tertentu seperti doktor pakar dalam bidang dermatologi.

Katanya, tindakan penguatkuasaan akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang berhubung penjualan barangan tersebut.

"Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) mengambil maklum tentang penjualan ubat terkawal produk Acnotin yang dijual secara dalam talian sama ada melalui media sosial seperti Facebook atau melalui platform e-dagang seperti yang dilaporkan dalam media massa.

"Oleh itu, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) memutuskan bahawa ubat ini hanya boleh dipreskrip dan digunakan oleh doktor pakar dan mana-mana penjualan Acnotin atau produk-produk yang mengandungi

Isotretinoin secara dalam talian adalah dilarang sama sekali dan tidak sah di sisi undang-undang," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham berkata, KKM komited menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memantau dan menyiasat aktiviti penjualan produk berkenaan dalam talian.

"Bagi menangani isu penjualan tersebut, KKM telah menubuhkan satu jawatankuasa yang berfungsi untuk melakukan analisis aktiviti dalam talian termasuk memantau dan menyiasat mana-mana aktiviti penjualan produk farmaseutikal serta produk Acnotin.

"Walau bagaimanapun, tindakan penguatkuasaan ke atas penjualan produk ini memerlukan kerjasama dan komitmen daripada pelbagai agensi kerajaan serta pihak swasta bagi memastikan usaha ini dapat diselesaikan," ujarnya. - UTUSAN ONLINE