Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Malaysia tidak boleh menerima sepenuhnya nilai-nilai hak asasi manusia diamalkan di negara-negara Barat merangkumi LGBT serta perkahwinan sejenis adalah selari dengan pendirian kerajaan PH selama ini.

“Betullah, itulah (kenyataan Dr. Mahathir) yang menegaskan apa yang kita sebut selama ini tentang sikap kita bahawa kita tidak boleh terima LGBT dan segala promosi, hendak minta hak kita tidak terima. Saya sudah sebut lama.

“Cuma apa yang saya sebut ialah hendak pulihkan golongan itu, hendak me­ngajak mereka menjadi elok. Saya juga sebut dari segi kewarganegaraan, dari segi tidak disakiti, tidak dizalimi dan itu termaktub dalam Perlembagaan,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia dalam majlis Sambutan Ulang Tahun Ketiga Parti Amanah Negara (Amanah) di Dewan Tun Abdul Razak di sini hari ini.

Semalam, Dr. Mahathir me­negaskan, Malaysia tidak boleh menerima sepenuhnya nilai-nilai hak asasi manusia diamalkan di negara-negara Barat me­rangkumi LGBT serta perkahwinan sejenis.

Perdana Menteri berkata, meskipun ada pembentangan mengenai perkara itu daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), namun nilai-nilai yang dipegang oleh Malaysia adalah berbeza dengan masyarakat Barat.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, kenyataan Dr. Mahathir itu telah memuktamadkan pendirian bahawa kerajaan menolak LGBT.

“Apa yang dimaksudkan Dr. Mahathir adalah jangan bagi hak, kahwin sejenis sebab itu yang diperjuangkan yang berbentuk advokasi, mereka (LGBT) memperjuangkan dan itu kita telah hentikan awal-awal lagi,” ujarnya.