AZMIRA ARIF
AZMIRA

Dia pernah dihina, dibuli, diperlekeh dan dijadikan bahan jenaka hanya kerana tutur katanya yang kedengaran tidak sempurna, iaitu sengau akibat memiliki rekahan pada lelangit sejak lahir.

Keterbatasan diri itu menyebabkan Azmira Arif atau nama sebenarnya, Mohd. Azmira Mohamad Arif tidak gemar bercakap sekali gus membesar menjadi pemuda yang pemalu serta kurang keyakinan diri. Dia juga rela menjadi 'halimunan' di mata masyarakat.

Walau bagaimanapun, Allah SWT maha adil. Tatkala suaranya yang sengau ketika bertutur dianggap satu kekurangan, pemuda polos dari Balik Pulau, Pulau Pinang itu memberitahu, dia menemui kelebihan diri pada instrumen sama, iaitu suara yang merdu ketika bernyanyi.

"Allah SWT tidak akan ubah nasib kita, kecuali kita berusaha mengubah nasib diri. Saya yakin pada bakat yang saya ada ini. Jadi saya tidak pernah putus asa dalam memantapkan teknik vokal, selain berusaha memperbaiki sebutan yang sengau setiap hari.

"Selepas buat persiapan, saya buang rasa malu jauh-jauh demi mengejar cita-cita bergelar penyanyi dengan cara nekad menyertai pelbagai pertandingan nyanyian dan Alhamdulillah usaha ini telah berhasil," kata Azmira Arif, 36, yang kini sedang mencipta nama di Brunei dan Singapura.

Pelantun lagu Pencinta Setia, iaitu runut bunyi drama bersiri popular Mawar Murni yang pernah disiarkan di TV3 itu berkongsi kisah hidupnya dalam Majlis Meraikan Orang Kurang Upaya (OKU) anjuran syarikat pengeluar susu kolostrum C2Joy, Tunas Duta Cemerlang (TDC) Sdn. Bhd. di sini semalam.

Dalam majlis sama, Ketua Pegawai Operasi TDC, Al Arabi Mohamed turut menyampaikan sumbangan kepada 50 tetamu iaitu golongan OKU yang berdaftar dengan Persatuan Membantu OKU Kelantan (Ihsan).

Perkongsian kisah hidup Azmir Arif membuatkan rata-rata tetamu tersentuh hati selain berjaya menyuntik semangat dan motivasi dalam kalangan golongan OKU untuk turut berusaha mengubah nasib diri meskipun memiliki fizikal tidak sempurna sebagaimana insan lain.

Sementara itu, Al-Arabi berkata, majlis tersebut merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial dan korporat (CSR) TDC yang diadakan dari semasa ke semasa.

"Sebelum ini kami sudah banyak menjalankan program CSR kepada pelbagai latar belakang masyarakat cuma pada kali ini agak berbeza kerana kami bekerjasama dengan pihak Ihsan untuk meraikan golongan OKU buat pertama kali.

"Dalam masa sama, kami mahu memperkenalkan Azmira Arif, pemegang kad OKU bagi masalah pertuturan namun berbakat besar dan berjaya mencipta nama dalam bidang nyanyian untuk berkongsi pengalaman serta memberi motivasi kepada tetamu yang diraikan," katanya. - UTUSAN ONLINE