KIOSK dakwah yang diangkut MPLBP dalam operasi pagi ini di Jalan Pantai Cenang, Langkawi, Kedah, hari ini. -UTUSAN ONLINE/Ihsan pembaca

Kiosk yang beroperasi sejak hampir tujuh tahun lalu itu sering dikunjungi pelancong bukan Islam yang ingin mengenali secara lebih dekat berkenaan agama itu.

Difahamkan, ‘pusat dakwah’ itu juga menjadi faktor kepada beberapa individu bukan Islam memeluk agama Islam setelah mendapatkan bahan-bahan bacaan berkaitan.

Presiden Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI), Kamarudin Abdullah yang mengusahakan kiosk itu berkata, peralatan terbabit diangkut Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) kira-kira pukul 9 pagi ini.

“Kiosk dakwah yang telah berbakti memberikan bahan dakwah percuma kepada bukan Islam selama tujuh tahun akhirnya diangkut PBT kerana kononnya menghalang laluan pejalan kaki.

“Sedangkan ketika kiosk ini dibangunkan dahulu, kami sudah mendapat keizinan pemilik tanah. Enam tahun tiada masalah tetapi mengapa MPLBP baru mahu mengambil tindakan hari ini.

“Mengapa tidak diambil tindakan awal-awal lagi jika betul melanggar lalu lintas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kiosk tersebut beroperasi setiap hari bermula pukul 6 petang hingga tengah malam tanpa melibatkan dakwah lisan, sebaliknya pelancong boleh mendapatkan maklumat Islam secara sendiri menerusi bahan yang disediakan.

Sementara itu, Kamarudin berkata, kiosk tersebut berada di tempat yang strategik untuk tujuan dakwah dan secara tidak langsung menjadikan Pulau Langkawi sebagai pusat informasi mengenai Islam.

Dalam pada itu, usaha untuk mendapatkan reaksi daripada pihak MPLBP berkaitan tindakan terbabit masih belum berhasil.

Bagaimanapun, menerusi notis yang dikeluarkan, pemiliknya ditakrifkan melakukan kesalahan dengan meletak dan meninggalkan kiosk di atas siar kaki tanpa kebenaran daripada MPLBP.

Notis yang menggariskan kesalahan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 itu dikeluarkan pada pukul 11.46 pagi, Ahad minggu lalu, sebelum operasi mengangkut dilaksanakan hari ini. -UTUSAN ONLINE