Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu hari ini mengisytiharkan kerusi Parlimen Kimanis yang dimenangi Datuk Seri Anifah Aman pada Pilihan Raya Umum ke-14 adalah terbatal dan tidak sah.

Azhar berkata, SPR mengambil maklum keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu itu dan sentiasa bersedia untuk menjalankan pilihan raya kecil (PRK) sekiranya ia perlu diadakan.

“Memandangkan pihak-pihak terlibat mempunyai hak untuk merayu, pilihan raya kecil hanya akan diadakan sekiranya tiada rayuan atau proses rayuan di Mahkamah Persekutuan telah selesai sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan susulan keputusan mahkamah itu.

Hakim Lee Heng Cheong memutuskan kemenangan Anifah tidak sah selepas pemeriksaan semula ke atas peti-peti undi mendapati terdapat unsur-unsur manipulasi termasuk penambahan kertas undi secara tidak sah yang melanggar undang-undang pilihan raya.

Menurut Azhar, berdasarkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu, kerusi P.176 Kimanis diisytiharkan kosong dan PRK hendaklah diadakan.

Di bawah peruntukan undang-undang, SPR hendaklah mengisi kekosongan kerusi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan dipastikan, katanya. - BERNAMA