Beliau berkata, menerusi akta baharu itu mana-mana pihak yang menulis atau membuat dakwaan mengenai berita palsu kehilangan dana tersebut akan diambil tindakan.

"Sehingga sekarang setelah banyak kali penerangan diberikan masih ada pihak yang membuat 'troll' dengan menyebarkan berita palsu tentang jumlah sebenar kehilangan wang daripada kementerian ini.

"Sebaik Rang Undang-undang ini diluluskan kita tunggu apa akan terjadi, saya tidak kata tidak boleh kritik, semua pihak boleh mengkritik mengenai persembahan dan keputusan yang dibuat tetapi bukan dengan menyebarkan berita palsu," katanya dalam sidang akhbar selepas menyerahkan bendera Jalur Gemilang kepada kontinjen Malaysia yang akan bertanding dalam Sukan Komanwel Gold Coast, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai pembentangan Rang Undang-undang tersebut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat, semalam.

Rang Undang-undang tersebut yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama mencadangkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Khairy sebelum ini telah banyak kali mengulas mengenai isu penyelewengan tersebut melalui media sosialnya dengan menegaskan kes tersebut telah dibawa ke mahkamah dan jumlah sebenar yang disabitkan ialah RM30 juta, bukan RM100 juta. - UTUSAN ONLINE