Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud berkata, ahli-ahli akademik Unimas tidak pernah jemu meneroka ilmu sehingga terkenal dalam disiplin keilmuan masing-masing.

Beliau yang juga Canselor Unimas memberitahu, graduan universiti itu amat bertuah kerana dapat menimba ilmu dengan ahli akademik Unimas dan hidup dalam komuniti ilmuan.

“Unimas sentiasa berada di hadapan dalam menghadapi cabaran ilmiah masa kini kerana terdapat perencanaan dan inovasi dalam mencapai hala tujunya,” kata beliau berucap dalam Sidang Keenam, Majlis Konvokesyen Ke-19 Unimas di Dewan Tunku Abdul Rahmah Putra (DeTAR Putra), Unimas di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor Unimas, Prof. Datuk Dr. Mohamad Kadim Suaidi dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Mohd. Fadzil Abd. Rahman.

Dalam sidang terakhir majlis konvokesyen itu, 291 graduan Fakulti Kejuruteraan serta 173 gra­duan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat menerima ijazah masing-masing.

Dalam pada itu, Abdul Taib turut menggariskan empat kunci ke arah pengurusan perubahan yang berkesan iaitu komunikasi, kepimpinan melalui teladan, mendapatkan sokongan kakitangan dan penambahbaikan berterusan.

Katanya, untuk berjaya, visi dan misi serta pelan strategik universiti perlu dikomunikasikan kepada semua anggota pelbagai peringkat dalam organisasi sama ada secara vertikal mahupun horizontal.

“Setiap ahli perlu memahami semua pelan yang disusun agar mendapat sokongan padu daripada semua peringkat organisasi.

“Kesatuan hati akan membenih­kan rasa kecintaan yang tinggi kepada organisasi dan saya percaya Unimas penuh dengan warga yang amat dedikasi serta komited dalam menjalankan tanggungjawab di universiti ini,” tegas beliau.