Menerusi akaun Facebook pertubuhan itu, DMNJ turut berkongsi pautan Utusan Malaysia yang pernah melaporkan perkara tersebut, http://www.utusan.com.my/berita/politik/video-zaman-ketuanan-melayu-telah-berakhir-syed-saddiq-1.776070#ixzz5V8c6zrWP.

“Agenda Saddiq: Tamatkan Ketuanan Melayu? Orang Melayu jangan lupa rakaman video bertajuk ‘Zaman ketuanan Melayu telah berakhir-Syed Saddiq’ yang tular sekitar Oktober tahun lalu,” menurut kenyataan dalam akaun media sosial pertubuhan itu hari ini.

Soal DMNJ lagi, nampaknya tindak-tanduk beliau sejak kebelakangan ini adalah sebahagian daripada strategi beliau untuk menjayakan agenda seperti yang diucapkannya itu?

“Mohon semua sama-sama renungkan dan memberikan pendapat sama ada orang Melayu boleh merelakan sahaja Saddiq dengan agenda untuk ‘mengakhirkan’ ketuanan Melayu di bumi kita sendiri?,” soal pertubuhan itu.

Laporan mengenai ucapan Menteri Belia dan Sukan itu disiarkan pada 27 Oktober 2018 ketika beliau berucap dalam Forum Ekonomi Belia 2018 di ibu pejabat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di sini.

Hal itu mengundang reaksi kurang senang pelbagai pihak sehingga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan bahawa pandangan oleh Syed Saddiq itu telah disalah tafsir.

Sebaliknya jelas Muhyiddin, partinya sendiri wujud atas dasar memperjuangkan nasib orang Melayu selaras dengan perkara-perkara termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Utusan Online ketika ini sedang cuba mendapatkan respon daripada pihak Syed Saddiq susulan muat naik tersebut oleh DMNJ dalam akaun Facebook pertubuhan itu.-UTUSAN ONLINE