Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yapeim, Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, sepanjang penggantungan tersebut, tugas-tugas Ketua Pengarah akan dipangku oleh Pengarah Kanan Yapeim, Parihah Hasan.

Kata Mohd. Daud, Parihah adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan merupakan Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Strategik Yapeim.

"Sepanjang penggantungan tersebut, jawatankuasa siasatan akan meminta beliau (Abibullah) untuk hadir bagi memberikan keterangan dan membantu siasatan berkenaan dakwaan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada minggu lalu, Lembaga Pemegang Amanah Yapeim baharu yang dilantik sejak November tahun lalu memberitahu, telah mengenal pasti beberapa kemungkinan salah laku dan kecuaian pentadbiran oleh pihak pengurusan terdahulu.

Yapeim dijangka mengadakan satu sidang akhbar pada minggu ini bagi menjawab segala persoalan berkaitan yayasan itu serta mendedahkan laporan lengkap hasil daripada audit dan semakan tadbir urus yang dilakukan firma bebas, PriceWaterhouseCoopers (PwC). - UTUSAN ONLINE