Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya bersedia mengambil tindakan terhadap pihak terlibat jika benar geran yang dibekalkan kepada petani yang layak menerima bantuan itu dieksplotasi sehingga melibatkan jutaan ringgit.

“Tuduhan yang dibuat itu tidak merujuk spesifik kes. Tapi kalau ada ketirisan, kita bersedia untuk ambil tindakan.

“Namun secara keseluruhannya, saya yakin tak sebegitu. Macam juga pihak lain, ketirisan, kebocoran memang ada. Tapi aduan yang diterima tidaklah banyak sebegitu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Peladang Jaya yang dihadiri lebih 5,000 masyarakt setempat di perkarangan pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kampung Gajah di sini hari ini.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan peruntukan geran bantuan petani mengalami ketirisan mencecah jutaan ringgit setiap tahun berikutan segelintir kontraktor dikesan menaikkan harga barangan pertanian sebanyak 30 peratus untuk dibekalkan kepada petani yang layak menerima bantuan berkenaan.

Senario yang sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu itu dikatakan membolehkan kontraktor terbabit mengaut keuntungan melampau walaupun proses berkenaan dilakukan secara telus melalui permohonan tender. - UTUSAN ONLINE