Timbalan Perdana Menteri berkata, GST ialah sistem percukaian paling efektif yang dilaksanakan di kebanyakan negara di seluruh dunia untuk manfaat rakyat secara keseluruhannya. 

"Kadar GST yang dikenakan adalah enam peratus tetapi ada negara mengenakan sehingga 22.5 peratus. Namun, kita ada pengecualian untuk barang tertentu, justeru Jabatan Kastam adalah paling adil kerana mengambil kira keperluan rakyat.

"Yang marah GST ini adalah mereka yang mahu lari dari cukai, dulu dia tipu, sekarang tidak boleh lari," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penutupan program khidmat bakti masyarakat dan kem motivasi bersama pelajar dari 16 sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) kawasan Bagan Datuk anjuran Jabatan Kastam di SJKT Ladang Kamatchy dekat Hutan Melintang, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kastam, Datuk Seri T. Subromaniam.

Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, sebagai Ahli Parlimen Bagan Datuk, adalah menjadi keutamaannya sejak dahulu lagi untuk memastikan bidang pendidikan diberi penekanan khusus kepada semua pelajar berbilang kaum di sini.

Katanya, hasil kejayaan pendidikan dan usaha bersungguh-sungguh, Subromaniam juga telah berjaya mencipta sejarah apabila menjadi orang India pertama yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatam Kastam. - UTUSAN ONLINE