Hari Wukuf merupakan kemuncak ibadat haji di mana umat Islam dari seluruh dunia akan berhimpun di Arafah, sebelum bergerak ke Muzdalifah dan Mina untuk bermalam selama tiga hari.

Jemaah memerlukan kesihatan terbaik ketika berada di kawasan Masyair kerana mereka akan menghadapi cuaca panas dan tinggal di dalam khemah bersama jutaaan umat Islam yang lain.

Ketua Unit Kesihatan Awam, Dr. Johari Awang Besar berkata, kunjungan dari bilik ke bilik daripada pasukan kesihatan awam itu merupakan langkah pencegahan dalam mengenalpasti jemaah berisiko menjelang hari tersebut.

“Melalui langkah pencegahan seperti bercakap kepada jemaah itu, kosnya sangat rendah berbanding perlu merawat mereka kelak dan apa yang penting jemaah kekal dalam keadaan terbaik, “ katanya kepada pemberita selepas melawat jemaah di sini, baru-baru ini.

Katanya, bagi jemaah yang sakit dan terpaksa menjalani rawatan di hospital, pihak Tabung Haji akan menguruskan agar mereka juga dapat melakukan ibadat pada Hari Wukuf.

Beliau berkata, setakat ini, terdapat 35 kes jemaah berisiko yang mana mereka perlu lebih memberi perhatian dalam penjagaan kesihatan dan mengikut nasihat doktor.

Katanya, jemaah berisiko seperti pesakit buah pinggang perlu menjaga kesihatan sendiri dengan baik dan tidak terlalu agresif melakukan ibadah.

Dr. Johari berkata, selepas dikenalpasti mempunyai penyakit yang memerlukan rawatan, pesakit akan dibawa ke Pusat Rawatan Tabung Haji di Syisyah.

“Jika masih memerlukan rawatan lanjut, pesakit kemudiannya akan dibawa ke hospital-hospital Arab Saudi sekitar Mekah yang kosnya adalah percuma bagi jemaah,” tambahnya.

Bagi jemaah Rashid Basir, dari Baling, kunjungan dari doktor dan petugas dari bilik ke bilik sememangnya inisiatif terbaik dari Tabung Haji dan dia juga berpuas hati dengan kemudahan klinik kesihatan yang disediakan.

“Doktor yang melawat menasihatkan kami minum banyak air, terutama ketika ini cuaca panas bagi menjaga kesihatan,” tambahnya yang merupakan bekas pesara polis. - UTUSAN ONLINE