Apabila siap nanti iaitu dija­dualkan pada 2024, RTS mampu menampung pergerakan kira-kira 10,000 pengguna setiap jam antara kedua-dua negara.

Majlis menandatangani perjanjian yang mencatat satu lagi sejarah dalam hubungan dua hala itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong sempena sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Kelapan di Istana Presiden di sini.

Malaysia diwakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan manakala Singapura oleh Menteri Penyelaras Infrastruktur yang juga Menteri Pengangkutan, Khaw Boon Wan.

Najib dalam sidang akhbar bersama Hsien Loong selepas itu optimis projek RTS akan menjadi ejen perubahan dalam aspek perhubungan kedua-dua negara khususnya rakyat.

“Projek ini memberi manfaat kepada kedua-dua negara. Ia bukan sahaja mengeratkan hubu­ngan antara negara, malah (lebih penting) rakyatnya.

“Setiap hari lebih 300,000 orang menggunakan sempadan kedua-dua negara (melalui Tambak Johor dan Lebuh Raya Linkedua) dan dengan siapnya nanti projek RTS ini dapat me­ngurangkan kesesakan yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Hsien Loong turut yakin projek RTS bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan di laluan keluar masuk sempadan kedua-dua negara, malah mampu mengeratkan hubungan dan keakraban antara rakyat kedua-dua negara.

“Kita bukan saja berharap, malah yakin projek RTS ini akan dilaksana mengikut masa yang ditetapkan iaitu dijangka siap pada 2024,” katanya.

Apabila siap kelak, projek berkenaan akan menjadi satu lagi mercu tanda bukti hubungan ak­rab dan kejayaan kerjasama antara kedua-dua negara selepas Marina One dan DUO yang dirasmikan oleh kedua-dua pemimpin berkenaan malam tadi.

Pada pemukiman kali ini, ke­dua-dua negara turut menandatangani perjanjian dalam bidang pendidikan yang diwakili Menteri Pendidikan kedua-dua negara, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ng Chee Meng.

Selain Abdul Rahman, dele­gasi negara turut disertai beberapa menteri lain antaranya Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.