Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Ahmad Kamarulnajuib Ibrahim berkata, setiap tahun, rakyat negara ini membuang jutaan kilogram sisa elektronik terpakai.

Kata beliau, jika sikap itu berterusan, ia bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, bahkan akan memendekkan tempoh hayat tapak-tapak pelupusan sampah.

“Oleh itu, menerusi Program Pengumpulan Sisa Elektronik Isi Rumah, JAS menggalakkan orang ramai supaya membuang sisa-sisa elektronik di tempat yang betul.

“Ini termasuklah televisyen, komputer, peti sejuk, periuk nasi dan barangan elektrik terpakai yang lain. Amalan ini telah dilakukan oleh Jepun dan tidak mustahil, kita juga boleh melakukannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Hari Alam Sekitar Negara 2018 Peringkat Negeri di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Gajah di sini, hari ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan perasmian majlis tersebut.

Baginda terdahulu mengetuai kayuhan basikal sejauh 18 kilometer bagi menyantuni golongan asnaf di sekitar kawasan itu.

Menurut Ahmad Kamarulnajuib, beliau dan para pegawainya bertuah kerana dapat menyertai program kayuhan itu yang begitu sinonim dengan baginda.

Katanya, menerusi penyertaan itu membolehkan beliau melihat sendiri alam sekitar yang masih terpelihara di negeri ini dan beramah mesra dengan penduduk.

“Inilah sesuatu yang unik di negeri ini dan Tuanku Syed Faizuddin yang ‘dekat’ dengan penduduk dan alam sekitar,” katanya yang pertama kali menyertai program kayuhan itu. - UTUSAN ONLINE