SALLEH BUANG

Pakar perundangan, Datuk Salleh Buang berkata, larangan tersebut boleh dianggap sebagai satu tindakan diskriminasi terhadap pekerja berkenaan yang berhak untuk mempertahankan apa juga haknya sebagai pekerja.

Katanya, definisi diskriminasi itu termasuk menukarkan kakitangan berkenaan ke unit lain hanya kerana mereka memakai tudung sedangkan memakai tudung tidak menyebabkan hotel berkenaan mengalami kerugian atau kehilangan pelanggan.

“Dalam sesetengah terma pekerjaan, majikan berhak menukarkan pekerja dari satu bahagian ke bahagian di peringkat dalaman tetapi jika kerana bertudung pekerja berkenaan ditukarkan, ia boleh dianggap satu bentuk diskriminasi dan pekerja berkenaan boleh mengambil tindakan terhadap majikan.

“Lebih-lebih lagi jika enggan ditukarkan tetapi jika majikan terus mengenakan syarat untuk bertugas di barisan depan perlu menanggalkan tudung, maka pertukaran seperti itu jelas terdapat unsur-unsur diskriminasi terhadap pekerja,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Salleh diminta me­ngulas mengenai polisi antarabangsa yang melarang pekerja wani­ta Islam daripada bertudung terutama yang bertugas di bahagian kaunter hadapan di sektor perhotelan.

Beliau yang juga bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, walau bagaimanapun isu itu boleh ditangani dengan lebih segera jika Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bertindak sebagai orang tengah menemukan wakil kakitangan dengan pihak industri perhotelan.

“Ini kerana jika pekerja hendak mengadu kepada kesatuan sekerja difahamkan kesatuan mungkin tidak dapat memihak dan membantu pekerja kerana kononnya terdapat polisi larangan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Presiden Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang berkata, sudah tiba masanya, satu undang-undang mengenai diskriminasi agama dan kaum perlu digubal segera bagi menjamin peluang kerja dan kerjaya yang ada adil kepada setiap rakyat dan juga warga a­sing yang bekerja di sini.

“Ini sekali gus menjadikan sebarang diskriminasi berdasarkan agama, kaum, jantina dan kelai­nan upaya termasuk contohnya larangan memakai tudung ini adalah menyalahi undang-undang, yang boleh dikenakan hukuman,” katanya.

Namun katanya, perlu diingatkan kepada semua majikan bahawa hak sama rata untuk rakyat negara ini ada diperuntukkan dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.