Kejayaan sensasi yang dicipta oleh nama besar sukan negara seperti Datuk Lee Chong Wei, Azizulhasni Awang dan Datuk Nicol Ann David di peringkat antarabangsa membuktikan bidang su­kan juga mampu memberikan pendapatan lumayan.

Pengarah Bahagian Sukan Ke­­menterian Pendidikan, Dr. Mehander Singh Nahar Singh berkata, banyak pihak yang tidak men­yedari bahawa bidang sukan mempunyai skop kerjaya yang luas dan bukan sekadar untuk menjadi atlet dalam permainan tertentu.

Katanya, penekanan terhadap bidang sukan sejak di bangku sekolah menerusi pelaksanaan 1Murid 1Sukan telah berjaya menarik minat generasi muda untuk bergiat aktif dalam bidang tersebut.

“Pelajar yang cemerlang dalam bidang sukan mempunyai pilihan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat menengah di lima buah Sekolah Sukan Malaysia (SSM) iaitu Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), SSM Pahang, SSM Sabah dan SSM Terengganu yang dikelolakan oleh Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan.

“Selain itu, pelajar yang tidak berpeluang memasuki SSM juga boleh melanjutkan pelajaran di Sekolah Sukan Negeri yang terletak di bawah Jabatan Pendidikan Ne­geri masing-masing,” katanya dalam temu bual di sini baru-baru ini.

Mehander Singh berkata, sebaik tamat sekolah menengah, pelajar yang bergelar atlet berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat prauniversiti dan universiti.

Beliau berkata, terdapat beberapa universiti tempatan se­perti Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Malaysia Sabah menyediakan peluang untuk atlet tersebut menyambung pengajian.

Lebih membanggakan, kata­nya, 22 daripada 32 atlet yang menyertai Sukan Olimpik di Rio tahun lalu adalah antara bekas atlet murid SSM.

Katanya, ini menunjukkan bahawa atlet yang bijak membahagikan masa antara bidang akademik dan sukan mempunyai peluang melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi.

“Terdapat juga atlet yang berminat untuk menjadi guru, jus­teru kita sediakan peluang kepada mereka untuk melanjutkan pe­ngajian di institut perguruan.

“Pada masa sama, terdapat atlet yang berminat menyambung pengajian di politeknik, kolej komuniti atau dalam bidang kejurulatihan. Ini menunjukkan ruang kerjaya sebagai atlet terbuka luas dan tidak terhad dalam satu bidang sahaja,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, atlet cemerlang turut berpeluang dihantar menyertai kejohanan di luar negara seperti Asean School Game (ASG) dan beberapa kejohanan lain di bawah projek Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menyentuh mengenai laluan pelajar yang berminat untuk me­nyer­tai SSM atau SSN, Mehander Singh berkata, pelajar tersebut per­lu menunjukkan bakatnya dengan menyertai pelbagai kejohanan sukan di pe­ringkat umur bawah 12 tahun.

Katanya, Jabatan Pendidikan Ne­geri dan Pejabat Pendidikan Da­erah (PPD) dengan kerjasama persa­tuan sukan bertanggungjawab me­ngenal pasti pelajar berbakat melalui Program Mengenal Pasti Bakat (TID) untuk diserap masuk ke SSM.

Potensi pelajar berkenaan kemudiannya akan digilap oleh sekolah sukan dengan dipantau oleh persatuan sukan yang terlibat supaya bakat pelajar tersebut dapat dikembangkan seiring kematangan usia.