Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, kerjasama yang turut merangkumi rangkaian anak syarikat penerba­ngan tersebut akan dimeterai di Berlin, Jerman bulan depan sempena penganjuran Lembaga Pelanco­ngan Antarabangsa (ITB) 2016.

“Pelancong-pelancong Eropah yang terbang ke Singapura melalui Singapore Airlines, paling lama pun tinggal di negara itu beberapa hari, selepas itu ke mana? Sebab itu kita (kementerian) jalin kerjasama ini supaya mereka dibawa melancong ke Sabah atau Sarawak.

“Kita menerima maklum balas yang baik dari pihak Singapore Airlines berhubung kerjasama ini. Untuk itu kita berharap penggerak industri pelancongan di Sabah atau Sarawak dapat mengambil kesempatan ini untuk mengukuhkan sektor pelancongan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Sesi Janji Temu Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Bersama Penggiat Industri Pelancongan Sabah 2016 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

Mohamed Nazri berkata, tugas serta petunjuk prestasi utama (KPI) kementeriannya adalah untuk membawa masuk pelancong asing ke negara ini, tanpa mengira kerjasama dengan mana-mana syarikat penerbangan.

Menurut beliau, selain pelancong Eropah, pihak kementerian akan terus menggiatkan usaha mempromosikan sektor pelancongan negara di China terutama melalui penghapusan visa bagi pelancong negara berkenaan.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau mengingatkan pemain industri pelancongan serta pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap kepentingan menjaga kebersihan khususnya tandas-tandas awam.

“Negara kita ini antara yang berada di depan dalam sektor pelancongan. Pertubuhan Pelancongan Dunia Bangsa-Bangsa Bersatu meletakkan kita di tangga ke-11 negara paling se­ring dikunjungi.

“Hospitaliti (layanan) kita kelas pertama. Tetapi untuk mengekalkan rekod-rekod baik ini, kena jaga kebersihan. PBT kena ambil peranan. Begitu juga peranan kita bersama membanteras jenayah ragut,” tambahnya.