Dalam masa sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berharap agar kerajaan terus memberikan sokongan kepada pelbagai usaha yang dilaksanakan demi meningkatkan lagi taraf kesihatan rakyat khususnya di negeri ini.

“Di samping itu, kita juga berharap Kementerian Kesihatan akan terus memberikan bantuan teknikal kepada Jabatan Kesihatan negeri bagi bersama membanteras wabak malaria di negeri ini,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Sambutan Hari Malaria Sedunia peringkat Kebangsaan 2018 di FELCRA Lubuk Sireh di sini hari ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Zaini Hussain.

Yang turut hadir, Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Teh Chai Ann.

Dalam pada itu, baginda juga mengingatkan rakyat negeri ini supaya sentiasa berwaspada dan mencegah kemasukkan jangkitan malaria meskipun Perlis telah mencapai status sifar penyakit berkenaan sejak tahun 2008.

“Untuk rekod, Perlis juga telah dapat mengekalkan pencapaian cemerlang sifat malaria sejak lebih 10 tahun. Pencapaian ini juga adalah selaras dengan sasaran yang telah ditetapkan oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mencapai sifar malaria menjelang tahun 2020,” titah baginda.

Terdahulu baginda turut berkenan bersama-sama Dzulkefly dan para pegawai kanan beliau berbasikal dalam program Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) peduli menjejaki dan menyantuni asnaf kali ke-58 di kawasan berkenaan. - UTUSAN ONLINE