Menterinya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, koordinasi tersebut akan melibatkan kementeriannya bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

"Pelaksanaan SST ini perlu dilakukan secara bersama sebab itu kita akan adakan koordinasi dengan kementerian yang terlibat bagi menentukan jenis perkhidmatan dan barangan yang dikenakan atau tidak dikenakan SST.

"Akta SST ini bawah Kementerian Kewangan dan kementerian ini yang akan tentukan barangan mana yang perlu dikenakan cukai ini manakala KKMM melibatkan perkhidmatan telco seperti kad tambah nilai prabayar telefon bimbit," katanya kepada pemberita selepas Program Kayuhan Amal dan Sentuhan Kasih Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Kampung Tengah Relau, Bandar Baharu di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Sri Jamil Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif SSM Datuk Zahrah Abd Wahab dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat India, Perpaduan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri R. Summugam.

Sementara itu, Saifuddin berkata pihak kementerian memahami kekangan bahawa terdapatnya peniaga yang tidak memperolehi maklumat mencukupi berhubung perlaksanaan SST yang menyebabkan mereka tidak sedar mereka melakukan kesalahan.

"Selain itu, ada peniaga yang kenakan SST pada barang yang tidak sepatutnya dengan menjadikan kos upah dan pengangkutan sebagai alasan tetapi kita akan pantau dan ambil tindakan," katanya.

Katanya, kumpulan peniaga ini dinasihatkan untuk merujuk laman web Jabatan Kastam yang tertera senarai perkhidmatan dan barang yang dikenakan SST.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan zakat korporat dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebanyak RM139,500 kepada lebih 300 orang kurang berkemampuan dan 20 institusi seperti sekolah, surau, masjid dan madrasah. - BERNAMA