Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata, negara telah menghasilkan beberapa komponen yang baik dan bersedia untuk berkongsi teknologi dan pengetahuan itu dengan negara anggota ASEAN yang lain.

"(Negara) ASEAN tidak sepatutnya dianggap sebagai pengguna akhir (dalam industri pertahanan) tetapi perlu meningkatkan diri mereka sebagai rakan usaha sama dalam sistem industri itu secara bersepadu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) '17 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini.

Beliau berkata LIMA '17 yang menarik lebih daripada 500 pempamer dari seluruh dunia ke Langkawi boleh menjadi pentas bagi negara anggota ASEAN untuk terus meneroka peluang kerjasama dalam industri pertahanan.

"Kita tidak boleh ketinggalan (dalam pembangunan) industri pertahanan. Kita mahu sama-sama mengambil mengambil bahagian dalam industri ini," katanya. - BERNAMA