Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, penafian itu dibuat sebagai maklum balas kepada kenyataan yang dibuat Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong.

“Kenyataan Ka Siong bertajuk ‘Balakong by-election: Cheras voters spoilt for choice in Thursday night ceramahs’ disiarkan oleh portal dalam talian akhbar berbahasa Inggeris pada Khamis lalu.

“Laporan itu berkaitan dengan keranda dan makanan bayi dikenakan SST. JKDM menafikan perkara itu dan berharap isu berkenaan selesai dan tidak mengelirukan rakyat dan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Subromaniam, pihaknya telah memuat naik cadangan barang-barang yang dikecualikan daripada SST yang telah dikemaskini pada 21 Ogos lalu dan daripada senarai itu dinyatakan keranda kayu dan makanan bayi dikecualikan SST. - UTUSAN ONLINE