Dalam hubungan itu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu teladan menolak rasuah harus dimulakan oleh pemimpin-pemimpin negara termasuk perdana menteri dan timbalan perdana menteri. 

Sejajar dengan itu, kerajaan Pakatan Harapan mengadakan pelbagai program termasuk mewujudkan Pusat Governans Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC).

Berhubung tarikh akhir untuk ahli Parlimen dan pegawai pentadbiran kerajaan mengisytiharkan harta masing-masing, Dr. Mahathir berkata, tiada tarikh yang ditentukan buat masa ini. 

“Setakat ini tiada lagi sesiapa yang mengisytiharkan harta mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan perutusan khas kepada ahli Parlimen dan anggota pentadbiran kerajaan pada Program Taklimat Governans, Integriti dan Anti Rasuah di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.

Taklimat itu julung kali diadakan sejak GIACC dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14)-UTUSAN ONLINE.