Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata ia termasuklah membabitkan penyelenggaraan lif di kawasan perumahan berkenaan.

“Sebab itu di Selangor kita ada program Ceria (Skim Baik Pulih Negeri Berkebajikan), menerusi program ini kita akan menggantikan dan memperbaiki lif terutamanya membabitkan kawasan perumahan kos rendah.

“Kita menyedari masalah ini sebab itu kerajaan negeri telah perkenalkan program Ceria ini sejak 2009 lagi dan menerusi perlaksanaannya telah banyak lif yang kita baiki membabitkan perumahan jenis itu di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival 3W (Wellness, Welfare and Women) peringkat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Dataran Kemerdekaan, hari ini.

Karnival itu dirasmikan oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Amirudin berkata demikian ketika diminta mengulas insiden kejadian lif terhempas di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Jumaat lepas dan beliau berharap kejadian itu tidak berlaku di negeri ini.

Dalam kejadian itu, lapan daripada sembilan penduduk cedera selepas lif terhempas dari tingkat lima.

Sementara itu, mengulas kejadian empat pengunjung Kompleks Agama Bandar Baru Kuala Selangor, di sini, yang terperangkap hampir 30 minit di dalam lif bangunan itu yang tidak berfungsi secara tiba-tiba, Jumaat lepas, Amirudin berkata penyelenggaraan lif terbabit di bawah seliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kerana premis tersebut milik kerajaan Persekutuan.

Terdahulu, kira-kira 5,000 pengunjung hadir ke karnival 3W anjuran MBSA yang mana program itu bertujuan memberi pendedahan kepada pengunjung berkaitan isu kesihatan, kebajikan dan wanita.

Pelbagai aktiviti turut diadakan sempena karnival itu termasuklah acara berjalan 10,000 langkah, senamrobik dan ‘wall climbing’. - BERNAMA