Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pihaknya bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah menubuhkan satu jawatankuasa bersama untuk meneliti langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengawal kos sara hidup rakyat Malaysia.

“Adalah sangat penting untuk kerajaan dengan segera memastikan kadar inflasi yang terendah sepanjang sembilan tahun iaitu satu peratus yang dicapai pada 2018 dapat dicerminkan di dalam harga barangan harian dan dinikmati rakyat terutamanya bagi kategori B40.

“Jawatankuasa ini akan bekerja seiring dengan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri dalam memastikan kos sara hidup untuk semua rakyat Malaysia kekal berpatutan dan sesuai mengikut kemampuan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada masa sama, Guan Eng memaklumkan, pengenalan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sejak September 2018 tidak memberi peningkatan inflasi secara mendadak apabila kadar inflasi berpurata hanya mencatatkan 0.3 peratus dalam empat bulan pertama selepas sistem pencukaian itu diwujudkan berbanding purata inflasi lebih tinggi iaitu 2.4 peratus pada empat bulan pertama pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Menurut beliau, inflasi pada 2018 yang berpurata satu peratus merupakan kadar terendah dicatatkan dalam tempoh sembilan tahun berbanding empat bulan pertama di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu yang merekodkan kadar 1.7 peratus

“Ini mengesahkan lagi kenyataan-kenyataan saya sebelum ini bahawa pengenalan semula SST tidak akan memberi impak pada peningkatan harga sebesar selepas pengenalan GST dan sekali gus menjadi bukti kukuh untuk menidakkan momokan pihak pembangkang bahawa SST bakal meningkatkan kadar inflasi dengan teruk.

“Data Indeks Harga Pengguna (CPI) juga secara jelas menunjukkan bahawa pengkadaran sifar GST dari Jun hingga Ogos 2018 telah membawa penurunan yang ketara kepada harga pengguna,” katanya.

Pada masa sama, Guan Eng memaklumkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia suku keempat 2018 berkembang baik pada kadar lebih 4.7 peratus berbanding suku ketiga iaitu 4.4 peratus meskipun negara berhadapan cabaran luar iaitu perang dagang antara China dan Amerika Syarikat.

“Peningkatan ini adalah lebih tinggi berbanding dengan kadar pertumbuhan ekonomi bertaraf A-/A3 yang mempunyai saiz penduduk sederhana-besar seperti Sepanyol, Arab Saudi, dan Mexico, dan tidak jauh di belakang berbanding Poland.

“Pertumbuhan sihat berbanding dengan negara-negara yang sama taraf dan saiz ini merupakan suatu kelebihan yang dapat membantu Malaysia kekalkan penarafan kreditnya pada taraf yang tinggi,” katanya.

Guan Eng menambah, kepastian polisi kerajaan dalam mengkalibrasi semula ekonomi negara ke arah pertumbuhan berkualiti tinggi memainkan peranan dalam mempercepatkan perkembangan KDNK negara apabila pelaburan awam telah meningkat sebanyak 44 peratus dalam suku keempat dan perkembangan positif ini dijangka berlanjutan dalam tahun ini.-UTUSAN ONLINE