Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan menyedari keperluan pembinaan lapangan terbang kargo itu yang mampu memberi kesan baik secara jangka panjang bukan hanya kepada negara, malah negeri-negeri khususnya di wilayah utara.

Menurut beliau, pembinaan lapangan terbang kargo itu juga mampu menyokong kerancakan ekonomi yang berlaku antara wilayah utara khususnya Pulau Pinang dengan selatan Thailand ketika ini.

"Sudah tentu dengan kapasiti ini pada suatu masa nanti akan memerlukan kerja-kerja menaik taraf atau pembesaran sama ada pelabuhan atau lapangan terbang," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis penyerahan kunci rumah kepada pembeli projek perumahan pangsapuri Casa Anggun yang dibangunkan JKP Sdn. Bhd. di Sungai Nibong, di sini hari ini.

Mohamed Azmin sebelum ini mengumumkan Kerajaan Pusat meluluskan cadangan pembinaan projek KXP membabitkan pelaburan luar berjumlah RM1.6 bilion.

Dalam pada itu, ketika ditanya berkenaan bantahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhubung pembinaan KXP, Mohamed Azmin bagaimanapun menyifatkan perkara tersebut adalah satu bentuk perbincangan yang sudah pun diperhalusi.

Jelas beliau, pembinaan lapangan terbang kargo KXP itu kelak akan saling melengkapi dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas di sini selain pelabuhan yang dimiliki negeri ini.

"Bagaimanapun, kita juga sedia maklum LTAPP sudah sampai ke tahap kapasiti yang maksimum dan perlu dilakukan pembesaran, justeru ada perkara yang kita perlu pertimbangkan.

"Tapi dengah adanya lapangan terbang baru (KXP), boleh mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang mampu memberi kebaikan kepada semua negeri di wilayah utara," katanya. - UTUSAN ONLINE