Perdana Menteri menegaskan, kerajaan pimpinannya tidak boleh memberi kemewahan kepada rakyat seperti kerajaan terdahulu kerana tindakan itu boleh meningkat hutang dan menjejaskan negara.

Tambahnya, kerajaan terdahulu meninggalkan hutang lebih RM1 trilion dan sanggup menyalahgunakan wang berkenaan bagi mendapatkan sokongan rakyat tanpa mengambil kira kedudukan kewangan negara.

"Kita dapati seolah-olah kita ini mendapat sebuah kerajaan yang tidak bertimbang rasa seperti kerajaan dahulu.

"Kita bertimbang rasa, tetapi kita juga berusaha untuk keselamatan negara keseluruhannya terutama keselamatan kewangan.

"Kalau kerajaan guna wang dipinjam atau dicuri untuk tunjuk kita sebuah kerajaan yang bertimbang rasa, akhirnya kita akan hadapi masalah besar," katanya dalam ucapan pada majlis perjumpaan bersama 1,500 pegawai kerajaan gred 41 hingga 48 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar.

Menurut Dr. Mahathir, masalah yang dihadapi oleh kerajaan sekarang adalah sikap rakyat yang bergantung penuh kepada kerajaan untuk mendapatkan bantuan.

"Kerajaan dahulu beri kerana mereka salah guna wang. Bagaimanapun, kerajaan ini (PH) tidak dapat beri, kalau beri hutang lebih banyak, kalau gaji naik sahaja tanpa meningkatkan produktiviti akan berlaku inflasi.

"Bila inflasi berlaku, nilai mata wang rendah, daya beli jatuh, kehidupan tidak selesa daripada dulu" katanya.

Perdana Menteri turut menyatakan kerajaan PH berdepan masalah untuk memulihkan pentadbiran dengan cepat disebabkan pegawai berpengalaman disingkirkan akibat rasuah.

"Jentera kerjaaan telah dirosakkan kerana ada yang disogok dan terlibat dengan rasuah. Mereka ini terpaksa diganti pegawai muda kurang berpengalaman sehingga melemahkan jentera kerajaan," jelasnya.

Justeru kata Perdana Menteri, sama ada negara dapat dibaik pulih ia bergantung kepada kefahaman pegawai kerajaan tentang peranan mereka iaitu memberi kerjasama dan taat setia kepada pemerintah sedia ada. - UTUSAN ONLINE