Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad turut mempersoalkan tindakan Jabatan Peguam Negara dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang seolah-olah tidak bersungguh mencari penyelesaian adil.

“Sedih dan kecewa. Itulah perasaan saya. Di mana hak dan keadilan buat Muhammad Adib sehingga hari ini?

“Kes sudah sampai di penghujung. Adakah Pejabat Peguam Negara dan kerajaan PH dilihat ibarat sedang bermain wayang kulit sedangkan ramai rakyat dan pastinya keluarga mahukan hak, keadilan dan pembelaan sewajarnya untuk Muhammad Adib,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Isnin lalu, peguam Syazlin Mansor menarik diri daripada mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam prosiding inkues kematian Muhammad Adib.

Tindakan itu mencetuskan persoalan banyak pihak memandangkan tempoh inkues hanya berbaki beberapa hari selain menimbulkan tanda-tanya berhubung tindakan Peguam Negara, Tommy Thomas yang baru sekarang mempersoal kredibiliti Syazlin. - UTUSAN ONLINE