AZMAN
AZMAN

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr.Azman Ibrahim berkata, projek yang bermula pada 2011 dengan kos mencecah RM5 juta itu hanya  dibangunkan di tapak seluas 35 hektar daripada keseluruhan 200 hektar yang disasarkan.

"Kos perparitan menelan RM4 juta manakala kos penanaman pula RM1 juta namun (selepas ditanam) ia terbiar sebegitu sahaja malah, bakinya sekitar 179 hektar masih tidak ditanam.

"Sepatutnya dalam tempoh lapan tahun ini kita sudah ada hasil tetapi dibiarkan menjadi hutan maka projek ini wajib dipulihkan sebab pelaburan cukup yang besar," katanya ketika ditanya pemberita di sini hari ini.

Projek penanaman 26,000 batang pokok oleh 25 peserta bertujuan membantu mengatasi masalah kekurangan kelapa di Terengganu, terutama pada musim perayaan selain mengurangkan kadar kemiskinan di daerah itu.

Azman berkata, turut diberi perhatian adalah dalam kalangan empat projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di negeri ini yang kebanyakannya berdepan masalah termasuk kerosakan pada struktur pelindung hujan selain soal tiada tanaman dan peserta.

Katanya, tidak terkecuali projek Lembah Kaprima bagi penternakan kambing secara komersial di negeri ini yang dimulakan sejak 2006 meliputi di lapan daerah di negeri ini namun hanya di empat lokasi masih menampung ternakan.

Difahamkan, kerajaan BN membelanjakan sejumlah RM16.63 juta bagi projek itu dalam usaha merealisasikan matlamat menjadikan Terengganu sebagai hab pengeluar kambing terbesar negara namun terjejas kerana sebahagian daripada operatornya berdepan masalah.

Projek itu dilaksanakan di lapan lokasi iaitu di Kampung Payang Kayu di Hulu Terengganu; Kampung Cabang, Kerteh (Kemaman); Segading (Hulu Besut); Hulu Seladang dan Telaga Papan (Setiu); Durian Mentangau (Dungun); Tanjung Gaduh (Marang) dan Mengabang Bakong (Kuala Nerus). - UTUSAN ONLINE