Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, hari ini, pihaknya mendengar taklimat daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk melihat semula keperluan mengkaji semula tarif air.

Beliau berkata, SPAN mencadangkan supaya tarif yang dikenakan boleh menampung kos operasi dan tidak membebankan kerajaan negeri.

“Cadangan untuk menaikkan tarif bergantung kepada negeri. Kita menyerahkan kepada AKSBuntuk melihat perkara ini.

“Selepas itu, AKSB akan mengangkat cadangan tersebut kepada kerajaan negeri untuk membuat keputusan, setakat ini tidak ada apa-apa cadangan lagi dan kita hanya mendengar taklimat daripada SPAN,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco Kerajaan Pas Kelantan, di sini hari ini.

Sebelum ini, akhbar melaporkan kadar tarif air mungkin akan dinaikkan secara berperingkat tahun ini selaras dengan usaha kerajaan untuk menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar dilaporkan berkata, kenaikan tarif sumber asli tersebut perlu dilaksanakan bagi menjaga kepentingan pengguna untuk mendapatkan air berkualiti serta menjamin industri tersebut dari sudut perkhidmatan.

Kali terakhir Kerajaan Pas Kelantan menaikkan tarif air adalah pada tahun 2013. - UTUSAN ONLINE