Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, beliau sendiri telah menemui usahawan berkenaan yang meluahkan rasa kecewa dengan perbuatan tersebut.

Katanya, usahawan terbabit telah beberapa kali menerima nasib malang apabila kertas cadangannya ketika menyertai tender atau sebut harga rupanya telah diambil dan diciplak oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Kini usahawan tersebut sudah tawar hati dan takut untuk menyertai mana-mana tender atau sebut harga kerana perit dengan perbuatan penciplak terbabit.

"Kertas cadangan itu digunapakai oleh pihak tidak bertanggungjawab yang dipilih untuk melaksanakan projek dalam tender atau sebut harga tersebut dengan menggunakan kos lebih rendah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menutup Bengkel Perkongsian Kepakaran dan Pembangunan Ukiran Kayu Tradisi Melalui Pembangunan Program Baharu di Desa Ukiran Kayu, Kampung Raja dekat sini hari ini.

Bengkel lima hari anjuran Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual Politeknik Besut dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu itu disertai oleh lima tenaga pengajar Politeknik Besut sebagai persediaan untuk melaksanakan program Diploma Industri Kraf di politeknik tersebut.

Nurkhuzaini yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera bagaimanapun tidak menyatakan maklumat tepat mengenai kes seumpama itu namun tambahnya, ia merupakan satu perbuatan yang tidak wajar.

"Perbuatan usahawan yang menciplak hasil titik peluh orang lain yang bersengkang mata untuk menyiapkan produk seni bagi memenuhi spesifikasi yang dikehendaki dalam tender berkenaan dipandang serius," jelasnya. - UTUSAN ONLINE