Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar Dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon berkata, Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar ini akan menyelaraskan tindakan antara agensi melalui bidang kuasa masing-masing supaya tindakan bersepadu dapat diambil.

Katanya, jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan oleh dirinya sendiri dan dianggotai oleh pelbagai agensi.

“Setakat ini, terdapat dua puluh lima agensi dan jabatan yang terlibat. Senarai akhir anggota-anggota jawatankuasa ini akan diumumkan selepas dimuktamad.

“Penglibatan pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar ini adalah amat penting kerana isu pencemaran bukan sesuatu masalah yang bersifat ‘silo’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chen Choon berkata, Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar itu akan memberi fokus kepada tiga jenis kawalan pencemaran utama iaitu pencemaran air, pencemaran udara serta pengurusan buangan.

Katanya, punca dan bentuk pencemaran adalah pelbagai dan memerlukan tindakan bersepadu yang pintar serta cekap demi kesejahteraan rakyat. - UTUSAN ONLINE