Menterinya, Datuk Dr. Jaujan Sambakong berkata, pungutan cukai itu akan dibincangkan semasa mesyuarat Kabinet negeri jika boleh dimasukkan ke dalam Kuasa-kuasa Ordinan Kerajaan Tempatan.

Katanya, kutipan cukai tersebut bertujuan memberikan hasil tambahan kepada PBT daerah yang selama ini telah melabur banyak untuk memastikan pusat pelancongan di kawasan masing-masing terjaga.

“Selama ini PBT telah berperanan menyediakan prasarana seperti jalan raya dan kelengkapan di pusat-pusat pelancongan tetapi sektor pelancongan itu tidak memberikan pendapatan kepada PBT.

“Jadi saya berpendapat sudah tiba masanya cukai sebanyak RM2 diambil daripada setiap pelancong asing dan jumlah ini sebenarnya tidak membebankan langsung,” katanya dalam sidang akhbar selepas mendengat taklimat pembangunan daerah di Majlis Daerah Tambunan di sini semalam.

Sejak lima tahun lalu, Sabah yang kaya dengan keindahan pantai dan alam sekitarnya semakin menjadi tumpuan pelancong terutama dari Korea Selatan dan China selain dari Eropah serta Barat dengan jumlah yang mencecah tiga juta orang.

Berikutan itu, PBT perlu memastikan setiap pusat pelancongan di daerah masing-masing terjaga bukan sahaja dalam soal memastikan prasarananya lengkap tetapi turut meliputi aspek kebersihan.

Jaujan berkata, sumber pendapatan PBT agak terhad, justeru jika tiada pendapatan lain dijana maka sukar untuk memastikan operasinya berjalan lancar setiap hari.

“Rakyat pasti mahu PBT yang berkesan kerana kehadiran pelancong yang ramai akan turut menjana ekonomi mereka ke arah lebih baik.

“PBT tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada geran kerajaan sebaliknya jana pendapatan sendiri dan kalau ada duit lebih rancanglah projek pembangunan untuk manfaat rakyat,” tambahnya.