Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar turut menarik perhatian, meskipun keadaan kehidupan di kelilingi majoriti Melayu serta kaum lain, masyarakat berketurunan Cina tetap hidup dalam suasana aman dan harmoni.

Malah, beliau memberitahu, kaum Cina saling bekerjasama dengan pelbagai bangsa dan walaupun berbeza di segi agama, keturunan serta fahaman politik, ia tidak sekali-kali menghalang mereka menjalankan aktiviti seharian.

"Perbezaan agama, bangsa dan fahaman politik tidak menghalang mereka menjalankan aktiviti harian, malahan mereka saling bekerjasama apabila diperlukan.

"Tahun Baharu Cina satu perayaan penting bagi masyarakat Tionghoa. Ia tanda permulaan tahun baharu bagi kalendar masyarakat Cina dan tahun ini merupakan tahun khinzir. Masyarakat Tionghoa percaya tahun ini bakal bawa banyak keuntungan dan kekayaan kepada mereka," katanya dalam perutusan sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2019 di sini hari ini.

Dr. Ahmad Samsuri seterusnya berharap supaya keharmonian yang dikecapi hari ini akan berterusan untuk dinikmati generasi akan datang.

Pada masa sama beliau juga mengharapkan agar masyarakat Tionghoa di negeri ini sentiasa menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri dalam melaksanakan program pembangunan untuk kesejahteraan rakyat Terengganu.

"Bersama kita membangun dan membina negeri Terengganu agar maju, berkat dan sejahtera.

Mewakili kerajaan negeri Terengganu, saya ucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh masyarkat Tionghoa di Malaysia dan khususnya di Terengganu," ujarnya. - UTUSAN ONLINE