Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata pada persidangan FAO di Rom, Itali minggu lepas, pihaknya telah menyatakan hasrat mengenai perkara tersebut, di samping berharap negara kuasa besar itu membantu negara-negara kecil meningkatkan ekonomi.

Katanya, China perlu memainkan peranan yang lebih penting membantu negara-negara kecil seperti Malaysia membuka pasaran produk baharu pertanian, selain negara dari Afrika dan kepulauan-kepulauan kecil yang bergantung kepada bekalan makanan.

“Ini bukan kerana kita bersetuju dengan perang perdagangan, tetapi kerajaan mengambil pendekatan kepada peluang serta pasaran China yang besar dan kita telah menyuarakan hasrat kepada beliau untuk memberi ruang lebih luas kepada Malaysia.

“Pelbagai produk makanan kita telah menembusi pasaran negara itu seperti Durian Musang King, nanas, sarang burung (walit) dan akan datang ialah nangka”, katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ‘walkabout’ dan Pelancaran Pertanian Campuran di Agro Mix Farm di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Pengurusan dan Regulatori) Mohd Nasir Warris dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam.

Pada 23 Jun lepas, media melaporkan Qu yang juga ahli biologi, adalah warga China pertama dilantik mengetuai FAO pada pusingan pertama pemilihan yang berlangsung di Rom, sekali gus mengambil alih jawatan itu daripada wakil Brazil, Jose Graziano da Silva.

Dalam pada itu Salahuddin berkata, konsep Pertanian Campur (Mix Farming) akan diperluaskan ke seluruh negara bagi mengalakkan peladang tempatan mengoptimumkan penggunaan tanah seterusnya mengelak kebergantungan pada hanya satu jenis tanaman.

Beliau berkata, pertanian campuran itu dilihat dapat membantu petani daripada terperangkap dengan kejatuhan harga sesuatu komoditi seperti kelapa sawit atau getah, selain membolehkan tanaman itu menjana pendapatan baharu yang bernilai tinggi.

“Konsep ini kita akan perkenalkan kepada petani-petani, banyak jenis tanaman kontan yang boleh dipilih untuk diusahakan dengan dibantu kepakaran serta khidmat nasihat oleh jabatan-jabatan agensi kerajaan, seperti pertanian, veterinar dan sebagainya untuk meningkatkan produktiviti dari masa ke masa,” katanya.

Menurut beliau pertanian campuran di Agromix Farm di kawasan berkeluasan 20 hektar itu, melibatkan sepuluh peserta yang mengusahakan ternakan rusa dan lembu tenusu, tanaman fertigasi, limau bali, kelapa matang, durian dan akuakultur.

“Kita berharap ia akan menjadi sebuah pusat agro pelancongan selain menjadi sumber ekonomi baharu penduduk setempat di samping menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan serta mengubah persepsi masyarakat terhadap bidang pertanian,” katanya. - BERNAMA