Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, keadaan itu berlaku kerana kebanyakan ahli-ahli koperasi terlalu menumpu kepada sektor pembiayaan kredit.

Di samping itu kata beliau, koperasi secara relatifnya masih bersaiz kecil apabila sumbangan keseluruhan sektor tersebut kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hanya satu hingga tiga peratus.

“Gerakan koperasi yang mempunyai ahli seramai 1.6 juta tetapi sumbangan KDNK sekecil itu, jadi kami rasa banyak yang boleh dicetuskan daripada koperasi dan tidak mustahil angka tersebut boleh meningkat tahun ini.

“Persoalannya adalah apakah imbuhan dan insentif yang diperlukan ahli-ahli koperasi supaya sumber yang amat sedikit ini dapat disalurkan dengan lebih bersasar sebab kerajaan bersungguh-sungguh ingin membantu sektor ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Kertas Kerja: Institusi Koperasi Sebagai Penyumbang Ketiga Ekonomi Negara dalam Konvensyen Pemerkasaan Koperasi Berlandaskan Semangat Bekerjasama dan Keusahawanan di Bandar Baru Bangi, dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Suraya berkata, pemilikan modal yang kecil, kurang pendedahan dan insentif untuk menembusi aktiviti perniagaan strategik antara cabaran dihadapi ahli-ahli koperasi untuk ke hadapan.

Kata beliau, berbeza dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memiliki saiz yang besar, menerima banyak galakan dan menyumbang sebanyak 37 peratus dalam KDNK negara.

“Walau bagaimanapun, kita bersedia untuk bergerak bersama dengan ahli koperasi menerusi lima strategi utama kementerian antaranya bersedia mengiktiraf gerakan koperasi dalam agenda pembangunan negara dan koperasi sebagai PKS,” katanya. - UTUSAN ONLINE