Selaras dengan pembentukan kerajaan baharu, Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Eric Paulsen berpendapat, pemimpin sekarang perlu berani berdepan dengan perubahan atmosfera politik di mana kritikan, perbezaan pendapat bahkan kontroversi adalah sebahagian daripada perjalanan politik.

“Begitu juga dengan penyokong dan ahli politik, mereka perlu tinggalkan budaya membuat laporan polis terhadap individu-individu yang mengkritik atau menghina melainkan kenyataan mereka itu diyakini boleh mengancam keselamatan negara atau berbaur hasutan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Eric juga meminta kerajaan baharu memberi ruang dan menghormati kritikan rakyat termasuk pengguna media sosial.

Sehubungan itu, beliau menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya tidak lagi ‘melayan’ laporan polis seumpama itu, sebaliknya menumpukan kepada kerja mereka.

Laporan polis itu, katanya, hanyalah ‘senjata’ bagi melindungi nama pemimpin yang terlibat. - UTUSAN ONLINE