Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN), Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, perkara itu tidak adil apabila tindakan hanya dikenakan kepada pemimpin politik pembangkang walaupun perkara sama dilakukan wakil rakyat kerajaan.

Menurutnya, pemimpin politik yang memiliki ilmu atau kelayakan tentang Islam dan siasah sepatutnya diberi ruang untuk mengimarahkan masjid selagi mereka tidak berkempen untuk parti politik yang diwakili.

“Apakah interprestasi sebenar berpolitik di masjid, kalau kata orang politik tak boleh bercakap dalam masjid ramai pemimpin kerajaan yang juga ahli politik bercakap di masjid dan tidak pun menjadi kesalahan.

“Tetapi apabila ahli politik pembangkang khususnya Pas bercakap sahaja di masjid kita dituduh berpolitik walaupun ada orang Pas ini ada kelulusan dalam bidang agama yang layak dan jauh lebih tinggi daripada wakil rakyat kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini.

Semalam, suasana DUN negeri ini ‘hangat’ apabila pembangkang bangkit menyatakan rasa tidak puas hati terhadap larangan yang dikenakan terhadap mereka untuk mengadakan majlis di dalam masjid.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob dilaporkan berkata, larangan itu bersifat seolah-olah kerajaan Pakatan Harapan (PH) cuba mengenepikan peranan wakil rakyat pembangkang termasuk dirinya yang dilarang menganjurkan program kem solat di sebuah masjid baru-baru ini. -UTUSAN ONLINE