Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kajian itu membabitkan pindaan kawalan ubat-ubatan yang menentukan harga rawatan ditetapkan selama ini.

“Usaha ini dilakukan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan agensi-agensi lain bagi melihat harga serta kawalan ubat di dalam rawatan kanser.

“Bagi kami, ini soal masa, tetapi daripada segi kos rawatan di bawah fasiliti Kementerian Kesihatan, ia tidak mempunyai masalah kerana segalanya dikawal pihak kementerian,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan program Larian Hari Kanser Sedunia di Institut Kanser Negara di sini hari ini.

Pada masa sama, Dzulkefly menggesa semua rakyat Malaysia tanpa mengira lapisan umur menjalani ujian saringan kanser bermula daripada peringkat awal.

Katanya, kelewatan untuk mengenalpasti kanser sejak awal adalah punca penyakit itu sukar dirawat dan sekali gus menelan kos yang begitu tinggi.

“Sehubungan itu, tidak kira anda siapa pun atau di mana jua berada, sila jalani ujian saringan pengesanan kanser di mana-mana hospital dan klinik kesihatan kerajaan,” katanya.

Tambah Dzulkefly lagi, pihak kerajaan giat menjalankan pelbagai kempen kesedaran bagi mencegahkan risiko kanser dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Ia termasuklah kempen tak nak merokok, kurangkan pengambilan gula dan alkohol secara berlebihan kerana tabiat sebegini merupakan faktor penyebab kanser.

“Berdasarkan kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hampir 30 hingga 50 peratus penyakit kanser mampu dicegah melalui gaya hidup sihat,” katanya. - UTUSAN ONLINE