Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perairan Laut Sulu melibatkan Indonesia, Filipina, Brunei serta Malaysia juga penting dan kerajaan bercadang bekerjasama dengan negara-negara terlibat untuk membina ‘dinding-dinding pencegahan’.

Sehubungan itu, katanya, pihak kerajaan akan mengadakan pertemuan enam mata dengan pihak tentera Indonesia dan Brunei esok untuk berbincang berhubung perkara berkenaan.

“Ketika ini kita memulakan inisiatif itu terlebih dahulu dengan menukar pelantar minyak berdekatan Lautan Sulu itu menjadi pangkalan tentera pesisir laut kita. Yang pertama akan dibuat di pesisir laut Sabah.

“Pangkalan ini akan menjadi lokasi bot pemantau, pesawat tanpa pemandu (UAV), helikopter dan sebagainya agar aset-aset itu dapat bertindak tepat pada masanya dari laut,” katanya kepada pemberita dalam Majlis Minum Petang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di atas KD Jebat hari ini.

Yang turut hadir Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Roslan Saad.

Dalam pada itu, Hishammuddin memberitahu, keupayaan aset-aset di Sabah turut dipertingkatkan termasuk atur gerak kereta perisai 8x8 Gempita di Tawau dan membina pangkalan hadapan helikopter di Lahad Datu.

“Selain itu, kita juga memperlengkapkan helikopter dengan persenjataan baharu ,” katanya.