Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Abdullah Mat berkata, keputusan yang diumumkan hari ini mencatatkan peningkatan sebanyak 0.11 mata daripada Gred Purata Negeri (GPN) 4.95 pada 2017 kepada 4.84 untuk tahun lalu.

Beliau berkata, keputusan itu juga telah mengatasi GPN Nasional dengan mata yang sama.

“Keputusan ini adalah yang terbaik jika dibandingkan dalam tempoh 10 tahun lalu.

“Sebanyak tiga calon dari Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra mendapat semua A+ dan seramai 262 calon mendapat sekurang-kurangnya A- dalam semua mata pelajaran yang diambil,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tiga pelajar tersebut ialah Muhammad Naim Mohd. Shamshudin mendapat 10+ manakala Mohamad Hafizuddin Mohd. Norwawi dan Wan Farah Hanan Wan Mohd Johari mencatatkan keputusan 9A+.

Abdullah berkata, jumlah tersebut meningkat berbanding hanya seorang calon sahaja mendapat semua A+ dan 199 orang mendapat sekurang-kurangnya A- pada tahun 2017.

Katanya, terdapat 28 buah sekolah termasuk tujuh buah Sekolah Agama Banguan Kerajaan (SABK) mencapai kelukusan 100 peratus.

“Pada tahun 2017, sebanyak 24 buah sekolah yang mencapai kelulusan yang sama.

“Sekolah Menengah Sains Machang telah mencatatkan kelulusan 100 peratus bagi semua mata pelajadan serta 15 buah sekolah pula mencapai kelulusan 85 peratus ke atas,” katanya.

Dalak pada itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Kemumin diumumkan di antara 10 buah sekolah yang mencatatkan lonjakan bestari dalam keputusan SPM 2018. - UTUSAN ONLINE