Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, L. Logeswaran memberitahu, pihaknya telah pun menyerahkan siasatan mengenai punca kejadian kepada pasukan forensik bomba untuk diteliti sebelum perkara itu diumumkan secara rasmi.

Buat masa ini kata Logeswaran, masih terlalu awal untuk memberi penjelasan berhubung punca kebakaran kerana semuanya dalam siasatan.

“Kita sudah serahkan kepada forensik bomba untuk menyiasat kejadian. Mengikut prosedur tempoh untuk kita mula mendapat segala maklumat adalah selama seminggu. Namun begitu, mungkin paling awal Jumaat kita akan keluarkan kenyataan rasmi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam kejadian yang berlaku awal pagi tadi, sebanyak 30 peniaga berputih mata apabila gerai mereka di hadapan Wisma Yakin, Jalan Masjid India musnah dalam kebakaran. - UTUSAN ONLINE