Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, siasatan awal berdasarkan 80 kes keracunan makanan membabitkan dua kematian yang dilaporkan hingga kelmarin mendapati punca kejadian tersebut menjurus kepada laksa itu sahaja.

“Kementerian Kesihatan sedang mengenal pasti punca keracunan makanan tersebut dan saya rasa mungkin sehari dua ini iaitu pada Isnin atau Selasa kita akan mendapat tahu keputusannya (ujian makmal). 

“Setakat ini, memang boleh sahkan kes keracunan makanan terbabit berpunca dari situ (laksa yang dimakan dari sebuah kedai di Kupang) cuma jenis kuman belum dikenal pasti,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Kesihatan Alor Setar 2018 di sini hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan terdapat 80 kes keracunan makanan dipercayai berpunca daripada laksa kebok dicatatkan hingga Khamis lalu yang mana 31 kes termasuk dua kes kematian dilaporkan di Perak, sebanyak 25 kes di Kedah dan 24 kes lagi di Selangor.

Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negara ini berkuat kuasa 1 Januari depan, Boon Chye memberitahu, pihaknya tidak menggalakkan pengusaha restoran untuk menyediakan ruang merokok di premis mereka.

“Memang kita mendapat cadangan daripada pengusaha restoran untuk menyediakan ruangan merokok di premis mereka tapi pandangan Kementerian Kesihatan tidak berpihak kepada mereka. 

“Ini tidak sejajar usaha kita untuk menghentikan tabiat merokok di tempat terbuka. Kepada perokok, kita tahu ketagihan itu satu masalah tapi mereka ada cara alternatif seperti pilih ‘nicotine gum’,” ujarnya.

Tambahnya, pihak Kementerian Kesihatan juga akan meningkatkan pendidikan kepada orang ramai tetang tabiat merokok di tempat terbuka sebelum larangan merokok di semua restoran dan premis makanan dikuat kuasa pada 1 Januari depan.