Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, malah kenyataan tersebut tidak tepat memandangkan penyebaran video intim mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersifat fitnah dan bertujuan menjatuhkan maruahnya semata-mata.

Sebaliknya kata beliau, individu yang terlibat dan berkomplot dalam penyebaran video tersebut sepatutnya diambil tindakan pihak berkuasa.

“Seseorang pemimpin itu jika terlibat dalam rasuah dan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM), barulah dia dinasihatkan bercuti.

“Dalam kes ini, Mohamed Azmin merupakan mangsa kepada penyebaran video fitnah itu malah beliau juga tidak mengganggu apa-apa siasatan. Jadi mengapa perlu bercuti? ” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Shamsul Iskandar hari ini berkata, pemimpin-pemimpin politik yang dikaitkan dengan tuduhan salah laku boleh membantu agensi penguatkuasaan kita dengan sekurang-kurangnya bercuti sementara dari menjalankan tugas rasmi sehingga siasatan ke atas mereka selesai dijalankan sepenuhnya.

Menurut Shamsul Iskandar, tindakan itu penting bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan tugas dengan bebas dan adil serta menunjukkan kepada masyarakat bahawa pemimpin-pemimpin tersebut tidak cuba berselindung di sebalik jawatan tinggi, kedudukan dalam parti apatah lagi di belakang Perdana Menteri sebagai perisai pertahanan mereka.-UTUSAN ONLINE