Misi pencarian pesawat tersebut seterusnya dilancarkan oleh Australia, China dan Malaysia yang bersama-sama menyelaras dan membiayai operasi berkenaan.

Namun begitu, pihak terbabit telah menangguhkan misi pencarian pada Januari tahun lalu selepas tiada kesan pesawat Boeing 777 ditemukan di kawasan pencarian seluas 120,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.

Pada 10 Januari lalu, syarikat penerokaan dasar laut yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Ocean Infinity Limited diberikan kontrak untuk menyambung pencarian pesawat berkenaan di kawasan baharu seluas 25,000 kilometer persegi di selatan Laut Hindi.

Hari ini, tepat empat tahun selepas kehilangan MH370, sebuah pasukan penyiasatan kemalangan udara bebas antarabangsa telah mengluarkan satu kenyataan untuk memaklumkan tentang usaha-usaha berterusan dalam pencarian pesawat tersebut.

Berikut adalah kenyataan penuh pasukan tersebut:

Kenyataan Interim Ke-4

Penyiasatan Keselamatan Untuk MH370 (9M-MRO)

Kenyataan Interim ke-4 ini telah disediakan di bawah Bab Enam, perenggan enam Aneks 13 kepada Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa, Penyiasatan Kemalangan dan Insiden Pesawat Udara (ICAO Aneks 13), untuk memberi maklumat mengenai kemajuan penyiasatan terhadap kehilangan Penerbangan MAS MH370, sebuah pesawat udara Boeing 777-200ER, dengan pendaftaran 9M-MRO sementara menunggu Laporan Keselamatan

disiapkan seperti yang dikehendaki di bawah Aneks 13 ICAO.

2. Penerbangan penumpang berjadual antarabangsa ke Beijing itu, yang membawa sejumlah 239 orang (227 penumpang dan 12 anak kapal), berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1642 UTC pada 7 Mac 2017 (pukul 1.42 watu Malaysia pada 8 Mac 2014). Kurang daripada 40 minit selepas berlepas, komunikasi dengan pesawat udara itu terputus selepas melepasi titik laluan (waypoint) IGARI.

3. Sebagai suatu Negara Pejanji ICAO dan mengikut Aneks 13 ICAO dan di bawah Peraturan 126(1)4 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 1996 (MCAR), pada 25 April 2014, Malaysia telah menubuhkan suatu Pasukan Penyiasatan Kemalangan Udara antarabangsa bebas, yang dikenali sebagai ‘The Malaysian ICAO Annex 13 Safety Investigation Team for MH370’ (pasukan penyiasatan) untuk menyiasat kehilangan penerbangan MH370. Pasukan

Penyiasatan tersebut, yang diketuai oleh Ketua Penyiasat, terdiri daripada 19

penyiasat Malaysia dan 7 Wakil Bertauliah daripada 7 pihak berkuasa

penyiasatan keselamatan5 dari tujuh negara.

4. Pada 8 Mac 2015, Kenyataan Interim pertama dan Maklumat Faktual mengenai Penyiasatan Keselamatan MH370 telah dikeluarkan kepada masyarakat umum pada ulang tahun pertama kehilangan MH370. Kenyataan Interim selanjutnya telah dikeluarkan pada 8 Mac 2016 dan 8 Mac 2017.

5. Serpihan pesawat udara yang berkemungkinan berasal daripada MH370 masih lagi dijumpai di sekitar pantai tenggara benua Afrika dan kepulauan berdekatan. Ringkasan dikemaskini serpihan yang dijumpai telah diterbitkan pada 30 April 2017 bersama dengan laporan pemeriksaan serpihan. Dokumen-dokumen ini terdapat di laman web Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

6. Pada masa penulisan Kenyataan ini, seperti yang dilaporkan dalam kenyataan interim yang dikeluarkan pada 2017, hanya tiga butiran serpihan telah disahkan sebagai berasal daripada MH370, iaitu, flaperon kanan, sebahagian daripada outboard flap belah kanan dan sebahagian daripada ‘outboard flap’ belah kiri. Beberapa serpihan lain ditentukan sebagai hampir pasti berasal daripada MH370 termasuk beberapa item dalaman kabin. Terdapat aktiviti berterusan untuk mendapatkan semula dan memeriksa sebarang serpihan baru yang dijumpai.

7. Aktiviti pencarian rasmi yang dikoordinasikan oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) telah digantung pada 17 Januari 2017. Pada 3 Oktober 2017, ATSB telah menerbitkan suatu laporan yang memperincikan sejarah pencarian dan membuat kesimpulan dan syor berhubung dengan aktiviti pencarian. Laporan pencarian ATSB itu adalah berasingan dan berbeza daripada laporan keselamatan yang dikehendaki di bawah Aneks 13 ICAO.

8. Sehingga kini, bangkai utama MH370 masih belum ditemui. Pada 10 Januari 2018, Kerajaan Malaysia telah menandatangani suatu perjanjian dengan Ocean Infinity untuk menjalankan pencarian bawah permukaan laut selama 90 hari dalam kawasan yang dianggap paling berkemungkinan terletaknya bangkai pesawat udara itu.

9. Terbitan laporan penyiasatan terperinci, iaitu laporan keselamatan, berdasarkan maklumat sedia ada pada masa ini telah digantung sementara menunggu hasil usaha pencarian terkini, kerana sebarang bukti baru yang dijumpai mungkin mempunyai kesan besar ke atas penyiasatan. Dalam hal pesawat udara itu ditemui, pasukan penyiasatan akan melakukan penyiasatan lanjut. Jika pesawat udara itu tidak ditemui dan keputusan diambil untuk

menghentikan pencarian, Pasukan penyiasatan akan menyambung semula persiapan laporan dan mengeluarkannya dalam bulan-bulan yang akan datang.