Saifuddin berkata, kenyataan Anning secara realitinya menafikan bahawa kejadian tembakan di Christchurch itu adalah tindakan pengganas terhadap komuniti muslim yang tidak bersalah di tempat suci untuk beribadat.

Katanya, tindakan pelaku dalam kejadian terbabit adalah sangat tidak wajar dan secara dasarnya dia telah didorong oleh sikap fanatik dan kebencian yang melampau terhadap umat Islam yang berada di negara terbabit.

“Walaupun kenyataan itu tidak mencerminkan pandangan kerajaan Australia, saya bimbang kenyataan tidak bertangungjawab dan keterlaluan yang menyamakan Islam sebagai rejim despotik yang zalim abad ke-6 itu boleh mencetuskan lebih banyak jenayah terhadap umat Islam di seluruh dunia.

“Malaysia menyokong Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern dan kerajaannya dalam mengutuk semua bentuk keganasan dan memimpin ke arah keamanan dan keharmonian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam Anning dikritik hebat selepas membuat kenyataan bahawa serangan yang berlaku di Christchurch adalah berpunca daripada ‘imigresen’ yang membenarkan pendatang beragama Islam memasuki New Zealand.

Menurut Saifuddin, beliau pada hari ini juga telah bercakap dengan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar New Zealand, Winston Peters, untuk menyampaikan ucapan takziah kepada kerajaan New Zealand dan rakyatnya serta kepada keluarga dan rakan-rakan mangsa.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan New Zealand atas tindakan pantas memulihkan ketenteraman di kawasan yang terjejas dan memudahkan rawatan perubatan untuk mangsa,” katanya.

Dalam pada itu katanya, sehingga pukul 3 petang ini, adalah disahkan bahawa tiga rakyat Malaysia cedera dalam kejadian tembakan terbabit dan mereka kini sedang menerima rawatan di hospital selain seorang lagi masih hilang.

Dalam kejadian tembakan di Masjid Al-Noor Mosque dekat Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch kira-kira pukul 1.40 petang waktu tempatan semalam, sebanyak 49 orang dilaporkan terbunuh dan lebih 40 cedera.- UTUSAN ONLINE